Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts

Wednesday, January 11, 2012

Hanya Seorang Ayah..

"Ayah! Cepatlah! Thariq dah lambat nak pergi sekolah ni!" Masam mencuka wajah Thariq di depan pintu menunggu ayahnya yang sedang menyiapkan bekalan sekolah untuknya.

"Kejaplah. Ayah tengah nak letak nasi goreng dalam bekas ni." Ayahnya cepat-cepat mencapai penutup bekas makanan. Sedikit keluhan dilepaskan.


"Dah. Jom. Nanti lambat pulak nak ke sekolah." Ujar Arman kepada anaknya yang menunggu di depan pintu sambil menghulurkan beg sekolah anaknya. Sedikit senyuman dihadiahkan buat Thariq dengan harapan mampu menyejukkan kemarahan hati si kecil itu.

"Alah, kalau lambat pun sebab ayahlah. Tak payah nak tapau makanan pun. Thariq boleh beli kat kantin la ayah. Nanti lambat, Thariq yang kena marah dengan cikgu, bukannya ayah!" Terkedu wajah Arman di muka pintu mendengar kata-kata anaknya.

Segera dia beristighfar. Bimbang hati lelakinya akan dicucuk-cucuk syaitan yang mungkin mengundang kemarahannya buat si anak.

Bagi Thariq, dia sengaja berkata begitu kepada ayahnya untuk melepaskan kemarahan kerana semalam adalah hari jadinya. Namun, tiada hadiah yang diberikan ayah kepadanya. Bahkan ucapan selamat hari lahirpun tiada. Terkadang terasa bahawa ayahnya tidak langsung menyayanginya.

Setelah sampai di hadapan sekolah, segera Thariq keluar dari pintu kereta tanpa menyalami tangan Arman seperti biasa. Merajuk barangkali. Sekadar menggelengkan kepala, Arman ingin segera beredar.

"Thariq!" Satu suara yang dikenalinya sayup-sayup kedengaran. Faruqi melambai-lambai dari jauh. Tersengih-sengih Faruqi menunjukkan giginya yang sedikit jarang.

"Eh Thariq. Jap lagi aku nak tengok kau punya praktikal Sains minggu lepas. Hehe.. Nak check betul atau tak aku punya ni."

"Sains? Eh, hari ni mana ada subjek Sains." Berkerut-kerut dahi Thariq dengan pertanyaan Faruqi. Hatinya mula berdebar kerana dia amat yakin yang buku itu ditinggalkan di rumah.

"Memanglah Sains takde. Tapi Cikgu Latifah kan suruh hantar buku tu hari ni. Jangan pulak kau kata tak bawak. Habislah kau." Kata Faruqi sekadar mengusik.

"Hah? Serius ke? Alamak! Aku memang tak bawak la. Macam mana ni? Aduh, mesti kena marah lagi." Thariq sudah menarik-narik tali lehernya. Terasa seakan tersesak nafasnya dek terlalu risau.

"Kau pergilah telefon ayah kau suruh pergi ambik jap. Bukannya jauh pun office ayah kau dengan rumah."

"Aku baru je lepas marah ayah. Nak ke ayah pergi ambik buku aku? Takpe lah. Cuba je dulu." Thariq berkira-kira dalam hati.

Terus dia menuju ke telefon awam yang berada di tepi pondok pengawal.

.....

Arman sudah sampai di parking lot pejabatnya. Dilihat jam di tangan sudah 7.50 pagi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.

"Ayah! Thariq ni." Kedengaran suara anak kecilnya di talian. "Oh, Thariq. Kenapa nak?"

"Em.." Thariq sedikit teragak-agak.

"Ayah, Thariq tertinggal buku praktikal kat rumah. Kena hantar hari ni. Kalau tak cikgu marah. Ayah tolong hantarkan, boleh tak? Buku tu ada kat atas meja dalam bilik."

"Oh." Arman kembali melihat jam di tangan.

"Ok, jap lagi ayah hantarkan." Arman sudah serba salah.

Pagi ini dia perlu menemani ketuanya untuk bermesyuarat dengan syarikat penaja pengiklanan untuk produk terbaru keluaran syarikatnya yang bermula pukul 8.15 pagi. Tetapi yang pastinya dia tidak mahu anak kesayangannya itu dimarahi guru. Biarlah dia yang berkorban sedikit buat anak tunggalnya itu.

Seperti yang dijangka, Arman dimarahi ketuanya kerana terlambat ke pejabat semula setelah menghantar buku Thariq. Dia tidak menceritakan apa sebenarnya yang terjadi kerana sudah seringkali anaknya menjadi sebab atas kelewatannya ke tempat kerja. Bagi Arman, kesalahan itu memang terletak di atas bahunya sendiri kerana tidak pandai dalam mengurus masa dan kehidupannya dengan baik.

"Siti, kalaulah awak masih di sisi abang." Tiba-tiba hatinya terasa sayu mengenangkan arwah isterinya.

Isterinya yang meninggal dunia kerana lemas ketika menyelamatkan Thariq yang mandi di laut lima tahun yang lalu. Kejadian yang benar-benar memberikan tamparan hebat buat dirinya.

Arman masih teringat bila mana dia yang ketika itu sedang berada di Indonesia atas urusan kerja tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada mertuanya. Satu panggilan yang benar-benar meluruhkan jantungnya. Kehilangan seorang isteri tersayang.

"Sebab kaulah isteri aku mati!" terbayang di ingatannya saat dia memarahi Thariq kerana tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya. Anak kecil yang baru berusia lima tahun yang masih tidak dapat memahami apa sebenarnya yang berlaku hanya meraung-raung di sisi neneknya kerana dimarahi ayah.

Setelah peristiwa itu, setahun Thariq ditinggalkan di bawah penjagaan mertuanya. Arman yang pergi membawa diri. Sehinggalah pada suatu hari dia menerima berita bahawa anaknya demam panas.

Walaupun hatinya masih sakit, namun naluri kebapaannya masih kuat. Di saat dia menatap wajah sugul anaknya yang mirip dengan arwah isterinya, ego lelakinya runtuh. Dipeluknya Thariq sekuat hati.

"Maafkan ayah, nak. Ayah tak patut salahkan Thariq. Bukan salah Thariq." Teresak-esak Arman melutut di sisi anaknya. Menyesali akan perbuatannya, Arman sudah berjanji untuk menjaga Thariq sebaik mungkin dan melunaskan janjinya buat arwah isterinya.

Janji yang dibuat saat Thariq dilahirkan ke dunia. Janji untuk mendidik anak itu sebaik mungkin supaya menjadi buah amal di Akhirat kelak.

Alhamdulillah, Allah S.W.T masih memberikan peluang kepadanya untuk berusaha menjadi seorang ayah kepada Thariq. Walaupun terkadang kerenah anaknya itu benar-benar mencabar kesabarannya, namun Arman seringkali terkenangkan perbuatannya yang meninggalkan Thariq selama setahun dan hanya menjenguknya beberapa kali.

"Mungkin ini adalah ujian yang Allah S.W.T berikan kepada aku atas sebab perbuatan aku dulu. Dan semuanya sebab Allah S.W.T sayang aku. Allah S.W.T nak peringatkan tentang kesilapan aku," kata-kata yang seringkali ditekankan Arman sebagai sebuah peringatan buat dirinya sendiri.

.....

Selesai Pendidikan Jasmani pada waktu pagi, Thariq masuk ke kelas untuk menukar baju. Hanya beberapa orang rakannya berada dalam kelas sedangkan yang lain masih berlegar-legar di kantin untuk mengisi tekak yang kehausan. Apabila dibuka beg sekolahnya, matanya terpandang sebuah bungkusan kecil yang dibalut kemas berada di dalam beg.

Dalam kehairanan, dia membuka bungkusan tersebut. Dia tersenyum riang melihat seutas jam tangan yang diidam-idamnya selama ini berada di dalam kotak itu dan sekeping kad terselit di dalamnya. Thariq membuka kad tersebut.

Buat buah hati ayah yang tersayang,

Selamat hari lahir yang ke-10. Ayah minta maaf sebab terlambat bagi hadiah ni pada Thariq. Ayah memang teringin untuk sambut birthday Thariq semalam tapi ayah dah tertidur.

Thariq,

Ayah betul-betul nak minta maaf sebab tak mampu menjadi ayah yang terbaik buat Thariq. Ayah tak mampu nak masak makanan kegemaran Thariq sedap-sedap, ayah tak mampu nak siapkan baju sekolah untuk Thariq pagi-pagi, ayah tak mampu nak luangkan masa untuk bermain dengan Thariq setiap hari, ayah tak mampu nak tolong Thariq siapkan kerja rumah, ayah tak mampu nak belikan semua barang mainan yang Thariq minta. Banyak perkara yang tak mampu ayah buatkan untuk Thariq.

Mungkin sebab ayah hanyalah seorang ayah. Ayah tak mampu menjadi sesempurna seorang ibu yang mampu memberikan kelembutan kasih sayang yang lebih baik buat Thariq. Tapi ayah harapkan dalam kekurangan ini, ayah mampu membuatkan Thariq bahagia seadanya. Dan ayah nak Thariq tahu yang ayah benar-benar sayangkan Thariq. Setiap masa.

Ikhlas,

Ayah.

Basah pipi si anak kecil. "Ayah, maafkan Thariq." Ada sedikit kekesalan di hati Thariq atas sikapnya pagi tadi. Jauh di sudut hati, dia tidak sabar untuk pulang ke rumah hari ini. Ingin menemui ayah yang tersayang.

.....

Kring!!! Loceng sekolah berbunyi.Tidak seperti biasa, Thariqlah orang pertama yang keluar dari kelasnya menuju ke pintu pagar.

Di bibirnya tersenyum riang apabila terbayang ayahnya menunggu di dalam kereta dan sebuah pelukan erat ingin diberikan buat ayahnya. Bukan atas penghargaan hadiah yang diberikan ayahnya semata-mata, tetapi kerana pada saat ini, Thariq benar-benar ingin ucapkan sebuah kata-kata yang tidak pernah diucapkannya buat ayah selama ini.

Kata-kata yang disimpan dek kerana hatinya yang dipenuhi pelbagai prasangka buruk terhadap kasih sayang ayah kepadanya. Mungkin kerana tamparan kisah silam yang masih tersimpan kemas dalam ingatannya.

Sampai di depan pintu pagar, masih belum nampak kelibat ayahnya. Hatinya tiba-tiba terasa kurang enak. Ditepisnya pelbagai perasaan yang bercampur baur dalam diri.

Ayah Faruqi sudah sampai dengan wajah yang agak cemas. Dia kelihatan sedang menjelaskan sesuatu kepada Faruqi, perasaan ingin tahu Thariq membuak-buak dalam hati.

"Thariq, kereta ayah kau Myvi hitam, kan?" tanya Faruqi.

Muka Thariq berubah.

"A'ah. Kenapa?" Thariq bertanya dengan perasaan berdebar-debar.

"Em.. ada kereta Myvi hitam accident kat depan simpang sana. Ayah aku nak patah balik pergi tengok. Kau nak ikut?"

Thariq seperti kehilangan nafas seketika. Jantungnya berdegup kencang. Tidak mampu bersuara, dia sekadar mengangguk.

Di simpang tiga itu kelihatan orang ramai sudah berkerumun. Sebuah ambulan sudah berada di tempat kejadian dan kelihatan polis trafik sedang mengawal lalu lintas yang mulai sesak.

Air mata Thariq kelihatan sudah mula menitik. Langkahnya kaku melihat kereta Myvi yang remuk itu.

"Ayah... Ayah!!" Thariq berlari menuju ke arah sebujur tubuh yang sudah ditutupi kain putih.

"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Ayah! Jangan tinggalkan Thariq sorang diri. Mak dah takde. Takkan ayah pun nak tinggalkan Thariq jugak. Ayah!" Thariq meraung sambil tangannya memeluk erat tubuh yang sudah tidak bernyawa itu. Terasa gelap seketika dunianya.

"Thariq?" terasa bahunya disentuh lembut. Dengan pandangan mata yang kabur disebabkan air mata yang berlinangan, Thariq memandang ke belakang. Yang kelihatan satu susuk tubuh yang amat dikenalinya memandangnya dengan pandangan kehairanan.

"Ayah!" dipeluk erat tubuh ayahnya. Arman hanya tercengang kurang mengerti. Melihat sekeliling dan matanya terpandang sebuah Myvi hitam yang remuk teruk tersadai di tepi jalan. Barulah dia mengerti apa yang sebenarnya terjadi.

"Ayah! Ayah jangan tinggalkan Thariq ayah. Thariq mintak maaf sebab kasar dengan ayah pagi tadi. Jangan tinggalkan Thariq lagi, ayah," Teresak-esak Thariq memeluk ayahnya. Dalam hati, sejuta kesyukuran bertandang apabila menyedari ayahnya masih di sisi. Arman tersenyum memandang anaknya.

Perasaan gelisah bila melihat anaknya tiada di depan pintu pagar sekolah benar-benar terubat kini. Jika tidak kerana pengawal sekolah yang memberitahunya bahawa Thariq telah pulang bersama Faruqi, mungkin dia telah hilang arah untuk mencari anaknya yang tiada di sekolah.

.....

Jam sudah menunjukkan angka sebelas malam. Arman bersiap-siap untuk tidur. Pakaiannya dan Thariq sudah siap digosok. Bimbang jika esok terlewat bangun lagi. Di fikirannya sedang berkira-kira sarapan apa yang ingin disiapkan buat anaknya.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan.

"Ayah, boleh Thariq tidur dengan ayah?" Ujar Thariq teragak-agak sambil tangannya memegang bantal busuk Doraemonnya.

Arman tersenyum. Hatinya terasa bersyukur dengan perubahan sikap Thariq yang tiba-tiba.

Adakah kejadian hari ini benar-benar terkesan di hati anaknya?

Thariq naik ke katil lantas meletakkan kepalanya di bantal sebelah ayahnya.

"Selamat malam Thariq. Jangan lupa baca doa tidur," Arman tersenyum sambil menutup lampu.

"Selamat malam ayah. Thariq sayang ayah." Arman terkedu dalam kegelapan. Kata-kata yang dinanti-nantikan selama ini. Kata-kata yang benar-benar dirindui untuk didengari oleh Arman.

Setitis air mata mengalir ke pipinya.

"InsyaAllah, esok Tuhan pasti menjanjikan hari yang lebih baik buat kita berdua." Bisik Arman dalam hatinya.

Thursday, January 5, 2012

Tsunami Besar di Langit!

Subhanallah,

Allahuakbar,

satu fenomena alam yang terjadi di langit pada 16/12/11 di Alabama, Amerika Syarikat menunjukkan seolah-olah ombak tsunami besar berlaku yang terbentuk di langit biru..

Penduduk di Alabama berasa kagum dengan fenomena yang terjadi lalu mengambil gambar dan menghantarnya ke stesen kaji cuaca. Pakar mengatakan fenomena hebat ini berlaku apabila satu lapisan bahagian atas (udara) bergerak lebih pantas berbanding lapisan bahagian bawah(air).

30/12/11 - seperti ombak besar -di Segamat,Johor,Malaysia

30/12/11 - Subhanallah..fenomena sama yang berlaku di Segamat, Johor. Gambar ini diambil di Labuan,Sabah oleh seorang hamba Allah.

Adakah ini suatu petanda? wallahu a’lam

Tuesday, November 15, 2011

Marahmu Untuk Siapa??

Seorang ahli sufi yang masyhur, Syaqiq Al Balkhi r.m telah membeli sebiji tembikai untuk isterinya.Si isteri begitu gembira menerima buah tembikai itu.  Malangnya, apabila buah tembikai itu dibelah, ia dapati buah itu itu tidak elok.

Lalu si isteri marah-marah kerana tidak mendapat buah seperti yang diharapkan.

“Kepada siapa engkau tujukan marah itu? Adakah kepada penjual, atau pembeli, atau penanam ataupun kepada Pencipta buah tembikai itu?”

Tanya Syaqiq kepada isterinya. “Wahai isteriku. Ketahuilah, si penjual itu tentu ingin agar jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Si pembeli pula, tentu ingin membeli yang terbaik saja.

Manakala si penanam, kalau mampu sudah tentu dia ingin agar hasil tanamannya yang terbaik juga.


“Kini, nyatalah, bahawa marahmu itu ditujukan kepada Pencipta buah tembikai itu.  Maka bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”

~ Kadang kita tak sedar,adakah benar kita redha dengan segala ketentuan Allah.. semoga kita termasuk dalam golongan yang benar-benar beriman dengan qadak dan qadar dari ilahi, sama ada yang baik mahupun yang buruk. ~

Monday, November 14, 2011

Sepotong Roti..

Abu Burdah bin Musa Al-Asy'ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: "Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sepotong roti."

Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga diapun tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelumang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri.

Setelah ia sedar, maka ia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud.

Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu.

Rupanya di samping kedai tersebut hidup seorang pendita yang ada setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu dengan masing-masingnya mendapat sepotong roti. Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membagi-bagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.

Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata: "Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku."

Orang yang membagikan roti itu menjawab: "Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membagikan kepada mereka lebih dari satu buku roti."

Mendengar ungkapan dari orang yang membagikan roti tersebut, maka lelaki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.

Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam. Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sepotong roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sepotong roti tersebut dapat mengalahkan perbuatan dosanya selama tujuh malam itu.

Kepada anaknya Abu Musa berkata: "Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sepotong roti itu!"

Thursday, November 10, 2011

Saat Mereka Tidur..

Pernahkah anda menatap orang-orang yang anda sayang saat mereka sedang tidur?
Kalau belum, cubalah sekali saja menatap mereka saat sedang tidur.

Saat itu yang tampak adalah ekspresi paling wajar dan paling jujur dari seseorang.

Seorang artis yang ketika di panggung begitu cantik dan gemerlap pun akan tampak polos dan jauh berbeza jika ia sedang tidur.

Orang paling kejam di dunia pun jika ia sudah tidur tak akan tampak wajah bengisnya.

Perhatikanlah ayah anda saat beliau sedang tidur.
Sedarilah, betapa badan yang dulu kuat dan gagah itu kini semakin tua dan lemah, betapa rambut-rambut putih mulai menghiasi kepalanya, betapa kerut merut mulai terpahat di wajahnya.
Orang inilah yang tiap hari bekerja keras untuk kesejahteraan kita, anak-anaknya.
Orang inilah, rela melakukan apa saja asal perut kita kenyang dan pendidikan kita lancar.

Sekarang, beralihlah. ...

Lihatlah ibu anda....
Hmm...kulitnya mulai keriput dan tangan yang dulu halus membelai- belai  tubuh bayi kita itu kini kasar kerana menempuhi kehidupan yang mencabar demi kita.
Orang inilah yang tiap hari menguruskan keperluan kita.
Orang inilah yang paling rajin mengingatkan dan membebeli kita semata- mata kerana rasa kasih dan sayang,
dan sayangnya, itu sering kita salah ertikan.

Cubalah menatap wajah orang-orang yang kita cintai..sayangi itu...
Ayah, Ibu, Suami, Isteri, Kakak, Adik, Anak, Sahabat, Semuanya...

Rasakanlah sensasi yang timbul sesudahnya.
Rasakanlah energi cinta yang mengalir perlahan-lahan saat menatap wajah mereka yang terlelap itu.
Rasakanlah getaran cinta yang mengalir deras ketika mengingat betapa banyaknya pengorbanan yang telah
dilakukan orang-orang itu untuk kebahagiaan anda. Pengorbanan yang kadang-kadang tertutupi oleh salah faham kecil yang entah kenapa selalu saja nampak besar.

Secara ajaib Tuhan mengatur agar pengorbanan itu akan tampak lagi melalui wajah-wajah jujur mereka saat sedang tidur.
Pengorbanan yang kadang melelahkan serta memenatkan mereka namun enggan mereka ungkapkan.
Dan ekspresi wajah ketika tidur pun membantu untuk mengungkap segalanya.
Tanpa kata, tanpa suara dia berkata... "betapa lelahnya..penatnya aku hari ini".
Dan penyebab lelah dan penat itu?
Untuk siapa dia berpenat lelah
Tak lain adalah
KITA.....

Suami yang bekerja keras mencari nafkah, isteri yang bekerja keras mengurus dan mendidik anak, juga rumah.
Kakak, adik, anak, dan sahabat yang telah menemani hari-hari suka dan duka bersama kita.

Resapilah kenangan-kenangan manis dan pahit yang pernah terjadi dengan menatap wajah-wajah mereka.
Rasakanlah betapa kebahagiaan dan rasa terharu seketika menerpa jika mengingat itu semua.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika esok mereka "orang-orang terkasih itu" tak lagi membuka matanya,
untuk selamanya ... "

Bersedekahlah, Dirimu Diganjar Allah..

AMBIL  IKTIBAR

Sekeping duit RM1 saya gengam kemas di telapak tangan. Untuk membeli minuman pun belum tentu lepas. Kebetulan malam itu saya sangat-sangat lapar. Lalu tanpa hala tuju yang jelas, saya singgah sebentar di sebuah surau berdekatan rumah sewa untuk menunaikan solat isyak. TahunA itu 1998, ketika saya masih bujang. “Apalah yang boleh dibuat dengan duit ini…?” kata hati, sambi...l tangan terus memasukkan wang itu tadi ke tabung surau. Ya, lebih baik bersedekah dan belajarlah bersabar menahan lapar dan sengsara.

Cuba-cubalah selami, orang yang tak punya harta, kata naluri kecil. Bayangkanlah perasaan bila menatap wajah si kecil yang sentiasa menanti kepulangan ayah bonda dengan buah tangan, aneka kuih, lauk pauk atau alas perut yang sebenarnya tidak pernah kunjung tiba dan hanya mimpi semata-mata. Teringat sebuah rancangan televisyen, ketika wartawan menemubual seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, daripada keluarga susah dan daif. “Jika ada duit, adik nak makan apa?” tanya wartawan wanita itu tentang hasrat dan cita-cita sikecil itu jika punya cukup belanja.

“Roti canai...” jawab kanak-kanak ini tersekat-sekat dengan wajah yang menunduk malu. Pilu rasanya, bayangkan makanan bernilai 70 sen ketika itu pun tidak mampu dibeli. Biarlah malam ini saya merasa pula. Selesai solat, saya kembali ke rumah sewa, tempat tinggal bersama tujuh rakan yang lain, yang masing-masingnya tidak ada di rumah.

Tidur untuk menahan lapar.

Saya pun melabuhkan tubuh di atas lantai ruang tamu, sambil cuba memejamkan mata. Tidur, jalan terbaik menahan lapar kata hati lagi. Hati memujuk diri sambil sesekali berdoa, agar hari esok akan lebih baik daripada hari ini. Moga ujian ini tidak berpanjangan dan penghapusan dosa dan kesalahan saya selama ini.Tiba-tiba selang beberapa minit, pintu rumah diketuk bertubi-tubi.

“Nah..ambik ni, kami teringat kat Azamin tadi, saja beli nasi goreng nii..lebih,” kata jiran, sepasang suami isteri beranak dua kepada saya sambil menghulurkan bungkusan makanan itu.

Setelah rapat menutup pintu, air mata saya tumpah. Terharu yang amat. Rasa kerdilnya diri. Bagaimana Allah telah menyelamatkan saya malam itu…hanya kerana secebis doa dan sedekah yang secubit cuma.


Benarlah kata orang dan ahli agama, bersedekahlah, nescaya dirimu diganjar Allah. Jika tidak di dunia, akhirat kelak, saham kita akan bercambah-cambah.

Thursday, October 20, 2011

Sayangi Anak Kita Apa Adanya..

20 tahun yang lalu saya melahirkan seorang bayi laki-laki, wajahnya comel tetapi nampak bodoh. Ali, suamiku memberinya nama Yusri. Semakin lama semakin nampak jelas bahawa anak ini sedikit terkebelakang. Saya berniat mahu memberikannya kepada orang lain sahaja supaya dijadikan budak atau pelayan bila besar nanti. Namun Ali mencegah niat buruk itu. Akhirnya terpaksa saya membesarkannya juga.Pada tahun kedua kelahiran Yusri, saya pun melahirkan pula seorang anak perempuan yang cantik. Saya menamakannya Yasmin. Saya sangat menyayangi Yasmin, begitu juga Ali. Seringkali kami mengajaknya pergi ke taman hiburan dan membelikan pakaian anak-anak yang indah-indah. Namun tidak demikian halnya dengan Yusri. Ia hanya memiliki beberapa helai pakaian lama. Ali berniat membelikannya, namun saya selalu melarang dengan alasan tiada wang. Ali terpaksa menuruti kata saya.

Saat usia Yasmin 2 tahun, Ali meninggal dunia. Yusri sudah berumur 4 tahun ketika itu. Keluarga kami menjadi semakin miskin dengan hutang yang semakin bertambah. Saya mengambil satu tindakan yang akhirnya membuatkan saya menyesal seumur hidup. Saya pergi meninggalkan kampung kelahiran saya bersama Yasmin. Saya tinggalkan Yusri yang sedang tertidur lelap begitu saja.

Setahun.., 2 tahun.., 5 tahun.., 10 tahun.. berlalu sejak kejadian itu. Saya menikah kembali dengan Kamal, seorang bujang. Usia pernikahan kami menginjak tahun kelima. Berkat Kamal, sifat-sifat buruk saya seperti pemarah, egois dan tinggi hati, berubah sedikit demi sedikit menjadi lebih sabar dan penyayang. Yasmin sudah berumur 15 tahun dan kami menyekolahkan dia di sekolah jururawat. Saya tidak lagi ingat berkenaan Yusri dan tiada memori yang mengaitkan saya kepadanya. Hinggalah ke satu malam, malam di mana saya bermimpi mengenai seorang anak. Wajahnya segak namun kelihatan pucat sekali. Dia melihat ke arah saya. Sambil tersenyum dia berkata;

"Makcik, makcik kenal mama saya? Saya rindu sekali pada mama!"
Sesudah berkata demikian dia mulai pergi, namun saya menahannya.
"Tunggu..., saya rasa saya kenal kamu. Siapa namamu wahai anak yang manis?"
"Nama saya Yusri, makcik."
"Yusri...? Yusri... Ya Tuhan! Benarkah engkau ni Yusri???"
Saya terus tersentak dan terbangun. Rasa bersalah, sesal dan pelbagai perasaan aneh yang lain menerpa diri saya pada masa itu juga. Tiba-tiba terlintas kembali kisah yang terjadi dulu seperti sebuah filem yang ditayangkan kembali di kepala saya. Baru sekarang saya menyedari betapa jahatnya perbuatan saya dulu. Rasanya seperti mahu mati saja saat itu.

Ya, saya patut mati..., mati..., mati...!

Ketika tinggal seinci jarak pisau yang ingin saya goreskan ke pergelangan tangan, tiba-tiba bayangan Yusri melintas kembali di fikiran saya.

Ya Yusri, mama akan menjemputmu Yusri, tunggu ya sayang !

Petang itu saya membawa dan memarkir kereta Civic biru saya di samping sebuah pondok, dan ia membuatkan Kamal berasa hairan. Beliau menatap wajah saya dan bertanya;

"Hasnah, apa yang sebenarnya terjadi? Mengapa kita berada di sini?"

"Oh abang, abang pasti akan membenci saya selepas saya menceritakan hal yang saya lakukan dulu."

Aku terus menceritakan segalanya sambil teresak-esak. Ternyata Tuhan sungguh baik kepada saya. Ia memberikan suami yang begitu baik dan penuh pengertian. Selepas tangisan saya reda, saya keluar dari kereta dengan diikuti oleh Kamal dari belakang. Mata saya menatap lekat pada gubuk yang terbentang dua meter di hadapan saya. Saya mula teringat yang saya pernah tinggal dalam pondok itu dan saya tinggalkannya.

Yusri.. Yusri... Di manakah engkau, nak?

Saya meninggalkan Yusri di sana 10 tahun yang lalu. Dengan perasaan sedih saya berlari menghampiri pondok tersebut dan membuka pintu yang diperbuat daripada buluh itu.

Gelap sekali.

Tidak terlihat sesuatu apapun di dalamnya!

Perlahan-lahan mata saya mulai terbiasa dengan kegelapan di dalam ruangan kecil itu. Namun saya tidak menemui sesiapapun di dalamnya. Hanya ada sehelai kain buruk yang berlonggok di lantai tanah. Saya mengambil seraya mengamatinya dengan betul-betul. Mata mulai berkaca-kaca, saya mengenali potongan kain itu. Ini adalah baju buruk yang dulu dipakai oleh Yusri setiap hari.

Beberapa saat kemudian, dengan perasaan yang sangat sedih dan bersalah, sayapun keluar dari ruangan itu. Air mata saya mengalir dengan deras. Saat itu saya hanya diam saja. Sesaat kemudian saya dan Kamal mulai menaiki kereta untuk meninggalkan tempat tersebut. Namun, saya melihat seseorang berdiri di belakang kereta kami. Saya terkejut sebab suasana saat itu gelap sekali. Kemudian terlihatlah wajah orang itu yang sangat kotor. Ternyata ia seorang wanita tua. Saya terkejut lagi apabila dengan tiba-tiba dia menegur saya. Suaranya parau.

"Heii...! Siapa kamu?! Apa yang kamu mahu?!"

Dengan memberanikan diri, saya pun bertanya;

"Ibu, apakah ibu kenal dengan seorang anak bernama Yusri yang dulunya tinggal di sini?"

Dia menjawab;
"Kalau kamu ibunya, kamu adalah perempuan terkutuk!! Tahukah kamu, 10 tahun yang lalu sejak kamu meninggalkannya di sini, Yusri terus menunggu ibunya dan memanggil;
'Mama, mama!'

"Kerana tidak tahan melihat keadaannya, kadang-kadang saya memberinya makan dan mengajaknya tinggal bersama saya. Walaupun saya orang miskin dan hanya bekerja sebagai pemungut sampah, namun saya tidak akan meninggalkan anak saya seperti itu!"

"Tiga bulan yang lalu Yusri meninggalkan sehelai kertas ini. Ia belajar menulis setiap hari selama bertahun-tahun hanya untuk menulis ini untukmu..."

Saya pun membaca tulisan di kertas itu...

"Mama, mengapa mama tidak pernah kembali lagi...? Mama marah pada Yusri, ya? Mama, biarlah Yusri yang pergi saja, tapi mama harus berjanji mama tidak akan marah lagi pada Yusri."

Saya menjerit histeria membaca surat itu.

"Tolong bagi tahu.. di mana dia sekarang? Saya berjanji akan menyayanginya sekarang! Saya tidak akan meninggalkannya lagi! Tolonglah cakap...!!!"

Kamal memeluk tubuh saya yang terketar-ketar dan lemah.

"Semua sudah terlambat. Sehari sebelum kamu datang, Yusri sudah meninggal dunia. Dia meninggal di belakang pondok ini. Tubuhnya sangat kurus, ia sangat lemah. Hanya demi menunggumu ia rela bertahan di belakang pondok ini tanpa berani masuk ke dalamnya. Dia takut apabila mamanya datang, mamanya akan pergi lagi apabila melihatnya ada di dalam sana. Dia hanya berharap dapat melihat mamanya dari belakang pondok ini. Meskipun hujan deras, dengan keadaannya yang lemah ia terus berkeras menunggu kamu di sana . Dosa kamu tidak akan terampun!"

Ya Allah! Ampunkanlah dosaku! Yusri, ampunkan mama nak!

Wednesday, October 19, 2011

Jangan Sampai Anak Kita Buat Macam Nie..


Seorang bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih disambut baik oleh anaknya yang berusia 7 tahun. Sambil mengangkat briefcase ayahnya, si anak itu bertanya kepada ayah.....

Anak: Ayah...ayah.. boleh Amin tanya satu soalan?

Ayah: Hmmm....nak tanya apa?

Anak: Ayah...berapa pendapatan ayah sejam di pejabat?

Ayah: Itu bukan urusan kamu, buat apa sibuk-sibuk nak tanya? Si ayah mula menengking.

Anak: Amin saja nak tahu… ayah... Tolonglah beritahu berapa pendapatan ayah sejam di pejabat? Si anak mula merayu pada ayahnya.

Ayah: 20 ringgit sejam.. Kenapa nak tahu? Jerkah ayahnya lagi.

Anak: Oh..20 ringgit.. Amin menundukkan mukanya.

Anak: Ayah.. boleh tak bagi Amin pinjam 10 ringgit dari ayah?

Si ayah mula menjadi berang dan berkata, "Oh, itu ke sebabnya kamu tanya pasal pendapatan ayah? Kamu nak buat apa dengan duit tu? Mintak sampai 10 ringgit? Nak beli mainan lagi?? Ayah penat-penat kerja cari duit, kamu senang-senang nak membazir ya.. Sudah, pergi masuk bilik.. tidur! Dah pukul berapa nih...!!" Si anak itu terdiam dan perlahan-lahan dia kembali ke biliknya. Si ayah duduk di sofa sambil memikirkan mengapa anaknya yang sekecil itu meminta duit sampai 10 ringgit.

Kira-kira 2 jam kemudian, ayah kembali tenang dan terfikir kemungkinan besar anaknya benar-benar memerlukan duit untuk keperluan di sekolah kerana anaknya tak pernah meminta wang sebegitu banyak sebelum ini. Dengan perasaan bersalah, si ayah melangkah menuju ke bilik anaknya.Didapati anaknya masih belum tidur.

"Kamu benar-benar perlukan 10 ringgit? Nah.. ambil ni" Si ayah mengeluarkan sekeping duit kaler merah. Si anak itu segera bangun dan tersenyum girang. "Terima kasih banyaklah ayah!" Lalu dia mengangkat bantalnya dan mengeluarkan sekeping nota 10 ringgit yang sudah renyuk terhimpit oleh bantal. Bila ternampak duit itu, si ayah kembali berang. "Kenapa kamu mintak duit lagi sedangkan kamu dah ada duit sebanyak itu?? Dan dari mana kamu dapat duit tu??" Amin tunduk... tak berani dia merenung ayahnya.

Sambil menggenggam kemas duit itu, dia menerangkan....."Duit ni Amin kumpul dari belanja sekolah yang ayah bagi hari-hari. Amin minta lagi 10 ringgit kat ayah sebab Amin tak cukup duit..." "Tak cukup duit nak beli apa??"Jerkah ayahnya lagi. "Ayah.... sekarang Amin dah ada 20 ringgit.. Nah..ayah ambil duit ni. Amin nak beli sejam dari masa ayah di pejabat tu. Amin nak ayah balik kerja awal esok. Amin rindu nak makan malam dengan ayah.." Jelas Amin tanpa memandang wajah ayahnya...

Thursday, August 18, 2011

..PeRiBaDi RaSuLuLLah..

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.


2) Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina 'Aisyah menceritakan 'Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga..


3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.


4) Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, 'Belum ada sarapan ya Khumaira?' (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang bererti 'Wahai yang kemerah-merahan') Aisyah menjawab dengan agak serba salah, 'Belum ada apa-apa wahai Rasulullah. Rasulullah lantas berkata, 'Jika begitu aku puasa saja hari ini tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.


5) Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, 'Mengapa engkau memukul isterimu? Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, 'Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap degil juga, jadi aku pukul lah dia. Aku tidak bertanyakan alasanmu,' sahut Nabi s. a. w. Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?


6) Pernah baginda bersabda, 'sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik,kasih dan lemah lembut terhadap isterinya.' Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.


7) Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat,pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, 'Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?' 'Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.' 'Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit...' desak Umar penuh cemas....


Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat untuk menahan rasa lapar baginda. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?' Lalu baginda menjawab dengan lembut, 'Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?' 'Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.'


8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.


9) Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.


10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ke tuanan.

11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.


12) Pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.


13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi.Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, 'Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini? Jawab baginda dengan lunak, 'Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.'

sumber : http://zharifalimin.blogspot.com/2010/01/kisah-rasulullah-sebagai-pengajaran.html

Monday, December 20, 2010

::Kasih Si Anak & Ibu Monyet::

Baru-baru ini saya ke Negeri Sembilan untuk mengunjungi rumah seorang saudara. Sewaktu kereta melalui hutan rekreasi Hulu Bendul di kuala Pilah, nun di depan sana ,saya lihat ada sekumpulan monyet mundar-mandir di sisi jalan yang sibuk. Ia seperti terburu-buru untuk melintas.

Saya terus memandu dan sewaktu kereta semakin hamper, saya terkejut kerana ada seekor monyet menggeletik di atas jalan. Ia baru dilanggar salah sebuah kereta di hadapan saya. Pantas saya menekan brek dan memperlahankan kereta.

Kereta semakin hamper dan dada ini berdebar apabila melihat monyet itu terus menggelupur dan menghempas-hempas ke atas jalan. Kakinya terketar-ketar. Di sisinya ada darah dan cebisan daging.

Tapi paling menyentak perasaan saya ialah apabila melihat perutnya yang buncit itu terburai, dan dari celah luka besar itu tersembul sesuatu berwarna kelabu. Tahukah pembaca, benda apakah yang saya lihat itu?

Benda kelabu itu adalah anak yang masih dalam kandungannya!

Pada ketika itu saya terasa tubuh ini menggeletar. Saya pasti, si ibu monyet tadi akan mati sebentar lagi. Begitu juga dengan anaknya, nyawanya melayang sebelum sempat melihat wajah ibu.

Sebaik melintasinya, saya pandang cermin sisi dan belakang. Saya nampak kawanan monyet tadi bercempera. Ia berlari-lari mendapatkan si ibu tadi, tapi kemudian bertempiaran semula ke tepi jalan kerana hamper saja dilanggar kenderaan yang lalu-lalang.

Mungkin kepada pembaca sekalian, apalah ada pada nyawa seekor monyet.

Ia hanya monyet. Haiwan hodoh. Hidupnya di hutan, tidak setaraf dengan manusiawi.

Tapi tidak kepada saya. Pulang bercuti, saya terus catatkan surat ini, kerana peristiwa yang saya sebutkan tadi sebenarnya telah mengingatkan saya kepada sebuah peristiwa yang berlaku pada awal 1990-an.

Ketika itu usia saya masih di awal 20-an. Hari itu, saya diajak oleh seorang bapa saudara untuk memburu di hutan berhampiran rumah. Saya bukanlah minat memburu, tapi daripada bosan terperap di rumah, saya terima ajakan bapa saudara saya tadi.

Masih saya ingat, beberapa jam berburu, matahari pun sudah meninggi, tapi tiada seekor haiwan pun melintas di hadapan kami. Pelanduk, napuh, rusa, ayam hutan dan burung yang selalu berlegar di hutan itu, seolah-olah bersembunyai jauh dari kami. Hutan itu sepi.

Saya bertambah rimas, pak cik pula saya lihat mula kecewa. Hari kian beranjak petang, pak cik menepuk-nepuk senapang Relanya. Kata pak cik, "Kita balik ajalah, hari ni tak ada apa-apa.Mungkin esok ada habuan."

Kami berjalan pulang, tapi selang dua tiga puluh langkah, kami terdengar suara riuh-rendah di sebalik pokok-pokok besar di hadapan kami. Saya mengamati suara itu, ternyata ia dating dari sekawan monyet yang sedang memakan buah-buah hutan.

Saya perhatikan pak cik begitu berminat memerhatikan haiwan itu. Di bibirnya ada sebaris senyuman. Senyuman yang saya faham benar maksudnya.

Adakah pak cik hendak menembak monyet-monyet itu?

"Haa. Pak cik nak tembak ibunya, lepas tu pak cik nak ambil anaknya, nanti boleh bela," begitu jawapan pak cik.

Masih saya ingat juga, saya beberapa kali mendesak pak cik supaya membatalkan hasratnya itu, tapi gagal. Saya gagal mengendurkan niatnya.

Tidak akan saya lupa kata-kata pak cik petang itu, "daripada balik tangan kosong? " lalu dia mengacukan senapangnya ke arah kawasan monyet tadi, dan...

DAMMM!!!

Demi berdentum saja senapang, bercempera dan lintang-pukang monyet-monyet tadi menyelamatkan diri. Hutan itu riuh dengan bunyai ranting patah serta jerit pekik haiwan berkenaan.

BUUUPP! Ada suatu benda yang jatuh ke tanah.

Saya terpandang seekor ibu monyet jatuh berdekatan kami. Saya dan pak cik terus mendapatkannya. Dari perutnya bercucuran darah pekat. Anaknya yang tidak mengerti apa-apa terlepas dari pelukan, tercampak tidak jauh dari ibunya sambil menjerit-jerit.

Si ibu merengus-rengus memanggil anaknya dengan lemah. Ia cuba bangun dengan besusah payah sambil tangannya mencapai akar-akar pokok untuk mendekati anaknya. Sebelah tangan lagi menekap perut yang masih berdarah. Ia berusaha melangkah tapi terjatuh semula. Digagahi lagi sambil berguling-guling ke arah anaknya. Si anak yang baru pandai berjalan jatuh, bangun mendapatkan ibunya.

Si anak itu terus saja memeluk ibunya yang kesakitan. Masih terbayang jelas di ingatan saya bagaimana si ibu monyet tadi memegang tubuh dan menatap wajah anaknya puas-puas, kemudian dicium berkali-kali.

Setelah itu dibawa si anak ke dada lalu disuakan susunya. Saya dan pak cik terdiam melihat si anak mengisap susu manakala ibunya mengerang-ngerang perlahan seakan memujuk sambil menahan sakit.

Hati saya tersentuh. Betapa si anak yang baru melihat dunia tidak tahu bahawa ibu tempat dia bermanja akan pergi buat selama-lamanya. Saya tidak mampu menyelami fikiran ibu monyet tadi, tapi mungkin ia ingin memeluk anaknya buat kali terakhir, sepuas-puasnya, kerana selepas ini ibu akan pergi.

Ibu tidak akan dapat memelukmu lagi apabila kau kesejukan, menyuap mulutmu bila kau merengek kelaparan, juga melindungimu bila kau kepanasan.

Mata si ibu monyet itu memandang ke arah kami. Tangannya memeluk erat si anak seolah-olah enggan melepaskannya, biarlah ia mati bersama anaknya.

Matanya saya lihat digenangi air, masih tidak lepas memandang kami dengan pandangan sayu, mungkin ingin menyatakan betapa kejamnya manusia.

Dosa apakah yang aku lakukan hungga aku ditembak?

Salahkah aku bebas ke sana ke mari di bumi indah ciptaan Allah ini?

Tubuh ibu monyet itu berlumuran darah, begitu juga dengan si anak yang masih di pelukannya. Beberapa detik kemudian, dengan tenaga yang masih berbaki, kami lihat si ibu mencium anaknya untuk ke sekian kalinya. Perlahan-lahan tubuhnya terkulai ditanah, bisa penabur dari muncung senapang pak cik tadi tidak dapat ditanggung lagi.

Si anak menjerit-jerit memanggil ibunya supaya bangun dan melarikan diri dari situ, tapi si ibu sudah tidak bernyawa lagi. Puas menjerit, si anak tadi menyusu semula.

Di saat itu perasaan saya terlalu sebak. Saya perhatikan pak cik, dia beberapa kali menggetap bibir cuba menahan air matanya daripada tumpah ke pipi.

Tapi bila melihat si anak monyet tadi menjerit dan menggoncang-goncang tubuh ibunya, akhirnya air mata kami tumpah juga. Saya betul-betul kesal dengan apa yang berlaku.

Susana sunyai kembali. Si anak monyet itu kami rangkul dan bawa pulang, Biarpun ia terus menjerit-jerit dan enggan berpisah dengan ibunya yang telah mati.

Di dalam kereta saya hanya mendiamkan diri. Begitu juga pak cik. Pada ketika itu saya dapat merasakan betapa kejamnya kami kerana membunuh satu nyawa yang tidak berdosa. Biarpun monyet itu hanya haiwan yang hodoh, tapi mereka juga ada perasaan, ada rasa kasih kepada anak, rasa sayang kepada ibu. Tapi kita manusia??

Mana hilangnya akal waras kami?

Selang dua minggu kemudian, anak monyet tadi mengikut jejak ibunya. Pak cik memberitahu saya, anak monyet itu tidak mahu makan dan asyik menjerit-jerit sahaja. Mungkin ia rindukan ibunya. Apabila malam, keadaannya bertambah teruk, dan akhirnya mati.

Kini saya sudah bekerja dan berumah tangga. Peristiwa tadi sudah saya ceritakan kepada anak dan isteri saya agar mereka mengerti bahawa haiwan juga punya perasaan. Yang kejam adalah manusia, walaupun kitalah satu-satunya makhluk yang Tuhan anugerahkan akal fikiran.

Tidak lupa saya memberitahu mereka betapa agung dan sucinya kasih sayang ibu.

Friday, April 2, 2010

..PELIHARALAH AIB ORANG..

Tazkirah hari Jumaat.. artikel ini diambil dari email yang dihantar dlm inbox saya.. moga bermanfaat.. :)

*******************************

Sebagai orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana kita dipandu oleh al-Quran dan sunnah dalam menentukan tingkahlaku kita dalam menjalani kehidupan ini. Andaikan kita ini pengembara, pastinya kita bersyukur jika sepanjang perjalanan itu kita dibekalkan dengan kompas sebagai penunjuk arah. Kita sepatutnya lebih bersyukur lagi kerana tidak semua pengemabara dibekalkan dengan penunjuk arah ini.

Berbeza dengan masyarakat Islam, masyarakat lain tiada panduan khusus dan jelas tentang bagaimana mereka seharusnya menjalani hidup ini. Jika ada sekalipun, panduan itu hanyalah untuk aspek hidup yang tertentu dan tidak menyeluruh seperti Islam. Bagi mereka, segala-galanya boleh dilakukan. Maka, ramai yang berpegang kepada motto jenama Nike, "Just do it". Mereka pun buatlah apa sahaja yang terlintas di hati tanpa mengambilkira kesannya pada diri mahupun orang lain. Orang Islam tidak sepatutnya berpegang pada motto ini. Namun, ramai juga yang dengan bangganya memakai baju-T dengan slogan ini.

Dalam kehidupan seorang Muslim, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dilakukan. Jika sikap dan tingkahlaku umat Islam sama sahaja dengan orang bukan Islam, maka apalagi yang membezakan kita dengan mereka?

Walaupun seorang Muslim itu dibatasi oleh perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sebenarnya, masih banyak perkara yang dibenarkan dan sedikit sahaja yang dilarang. Satu daripada perkara yang dilarang itu ialah membuka aib diri dan aib orang lain. Membuka aib diri itu mungkin tidak begitu menimbulkan masalah kerana orang yang waras biasanya mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Namun, apa yang sedang membarah dalam masyarakat kita kini ialah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam kata-kata lain, suka mendedahkan keburukan orang lain.

Semua orang ada melakukan kesilapan dalam hidup dan lazimnya kita akan merahsiakan kesilapan itu bagi mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum. Alangkan seorang kanak-kanak pun tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa. Maka, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan diri kita sendiri.

Namun, bila tiba kepada keaiban orang lain, sikap kita begitu berbeza sekali. Ramai yang suka mendengar atau membaca kisah-kisah keaiban orang, malah, sanggup pula memanjangkan kisah-kisah itu kepada orang lain sedangkan Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Barangsiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup keaibannya di akhirat kelak."

Malangnya, ramai orang Islam yang lebih suka mengingkari perintah hadis ini. Mereka sama ada menjadi orang yang mengaibkan orang lain secara lisan mahupun tulisan; menjadi pendengar atau pembaca atau penonton setia kisah-kisah keaiban itu; mahupun, menjadi penyampai atau pemanjang cerita-cerita aib tersebut.

Malah, ada yang mengaut keuntungan dari keaiban orang lain. Kononnya, itulah formula untuk melariskan jualan. Soalnya, formula siapa? Formula Barat atau formula Islam yang kita bangga menjadi umatnya?

Ada juga yang mendakwa bahawa cerita seperti itu yang majoriti pembaca mahukan. Dakwaan ini mungkin benar dan biasanya majoriti akan menang. Namun, tidak semestinya majoriti itu betul. Maka, jika ternyata majoriti cenderung memilih sesuatu yang dilarang oleh agama, apakah kita patut terus menggalakkan mereka?

Dalam Surah al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT dengan jelas melarang umat Islam dari menyatakan keaiban orang lain. Dalam ayat yang sama disebut bahawa mereka yang mengingkari larangan ini, ia menjadi fasik, maka hendaklah ia bertaubat. Larangan ini begitu penting sekali dipatuhi sehingga ia diulangi dalam ayat yang berikutnya, "...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang...". Tidak cukupkah ayat-ayat ini memandu kita ke jalan yang benar?

Dalam pengenalan beliau mengenai Surah al-Hujurat ini, Abdullah Yusuf Ali, dalam terjemahan al-Qurannya menyebut bahawa, surah ini menyentuh tentang adab yang perlu dipatuhi oleh ahli masyarakat Islam. Selain melarang mengaibkan orang, surah ini juga memerintahkan agar: ketua dihormati; khabar angin diselidiki; damaikan dua pihak yang berkelahi; manusia lain jangan dicemuh atau diperlekehi; jangan label orang dengan perkataan yang buruk; jauhi prasangka; jangan mencari salah dan keaiban manusia; jangan mengumpat; dan, berkenal-kenalanlah sesama manusia.

Amat malang sekali bila mana umat Islam yang telah dipandu tentang cara bagaimana untuk hidup bermasyarakat, telah tidak mengambil manfaat dari panduan itu, sebaliknya mengambil sikap yang sama sekali bertentangan dengannya. Maka, salah siapa kalau masyarakat kita banyak cacat-celanya? Salah siapa kalau masyarakat kita tidak jauh buruk akhlaknya berbanding masyarakat Barat atau Timur yang tiada "kompas" penunjuk jalannya?

(sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia)

Wednesday, August 20, 2008

- IstiMewaNya WaNiTa -

Ramai dari kita merungut susah jadi wanita, lihat saja peraturan dibawah ini:

1. Wanita auratnya lebih susah dijaga (lebih banyak) dibanding lelaki.

2. Wanita perlu meminta izin dari suaminya apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.

3. Wanita saksinya (apabila menjadi saksi) kurang berbanding lelaki.

4. Wanita menerima warisan kurang daripada lelaki.

5. Wanita perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak.

6. Wanita wajib taat kepada suaminya, sementara suami tidak perlu taat pada isterinya.

7. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri.

8. Wanita kurang dalam beribadat kerana adanya masalah haid dan nifas yang tak ada pada lelaki.

Itu sebabnya ramai antara kita tidak henti² menyuarakan Hak Sama Rata untuk WANITA

Pernahkah kita lihat sebaliknya (kenyataannya)?

1. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Sudah pasti intan permata tidak akan dibiar terserak bukan? Itulah bandingannya dengan seorang wanita.

2. Wanita perlu taat kepada suami, tetapi tahukah lelaki wajib taat kepada ibunya 3 kali lebih utama daripada kepada bapaknya?

3. Wanita menerima warisan lebih sedikit daripada lelaki, tetapi tahukah harta itu menjadi milik peribadinya dan tidak perlu diserahkan kepada suaminya, sementara apabila lelaki menerima warisan,ia perlu/wajib juga menggunakan hartanya untuk isteri dan anak-anak.

4. Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapitahukah bahwa setiap saat kita didoakan oleh segala makhluk, malaikat dan seluruh makhluk ALLAH di muka bumi ini, dan tahukah jika kita mati kerana melahirkan adalah syahid dan surga menanti kita.

5. Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita, iaitu : Isterinya , ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya.

Ertinya, bagi seorang wanita tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 orang lelaki, iaitu : suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

6. Seorang wanita boleh memasuki pintu syurga melalui pintu surga yang mana saja yang disukainya, cukup dengan 4 syarat saja, iaitu : solat 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat kepada suaminya dan menjaga kehormatannya.

7. Seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah, sementara bagi wanita jika taat akan suaminya, serta menunaikan tanggungjawabnya kepada ALLAH, maka ia akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Masya ALLAH !

Demikian sayangnya ALLAH pada wanita.

Ingat firmanNya, bahwa mereka tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut / tunduk kepada cara-cara / peraturan buatan mereka. (beriman ala barat) Yakinlah, bahawa sebagai zat yang Maha Pencipta, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Ia yang Maha Tahu akan manusia, sehingga segala hukumnya / peraturannya, adalah YANG TERBAIK bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan/hukum buatan manusia.

Jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah S.A.W. pernah mengajarkan agar kita (kaum lelaki) berbuat baik selalu (gentle) terhadap isterimu. Adalah sabda Rasulullah bahawa ketika kita memiliki dua atau lebih anak perempuan, jaga dan didiklah dia menjadi muslimah yang baik, maka syurga adalah jaminannya. (untuk anak lelaki pula dengan kaedah berbeza). Berbahagialah wahai para muslimah. Jangan risau hanya untuk ekspresi kurang senang di dunia ini. Tunaikan dan tegakkan kewajiban agamamu, nescaya syurga menantimu...

Sumber: Email dari yahoogroups