Friday, December 26, 2008

- Air Tangan Isteri -

Dalam satu paparan majalah kesayangan semua ini baru-baru ini ialah mengenai harapan seorang suami terhadap isterinya. Banyak harapan suami, semua yang baik-baik, yang menjamin kesejahteraan hidup mereka. Mungkin satu hari nanti, boleh pula dibincangkan tentang harapan isteri terhadap suaminya. Namun, untuk perbincangan kali ini, saya nak sentuh mengenai salah satu harapan suami di dalam perkahwinannya iaitu isterinya adalah seorang yang pandai memasak. Mungkin tak sehebat seorang chef yang handal dalam menyediakan pelbagai jenis juadah tetapi yang penting, si isteri mampu mengenyangkan perut suami. Harapan para suami ini mengingatkan saya kepada kata-kata emak saya: kalau nak suami dekat dengan kita, jaga perutnya jangan sampai lapar dan jaga tidurnya jangan sampai tak lena. Alhamdulillah, menghampiri empat tahun perkahwinan, suami saya yang dulunya memakai pakaian bersaiz M, dah mula mencari saiz L.

Mungkin ada yang pelik, satu masa dulu saya pernah menegaskan bahawa memasak untuk suami dan anak-anak, bukan satu tanggungjawab. Ya betul, memasak bukan satu tanggungjawab atau kewajipan seorang isteri. Harus diingat, selain melayani kehendak batin suami, kewajipan seorang isteri adalah menjaga kebajikan suami. Sebab itu lah saya pernah mengatakan bahawa tugas memasak adalah satu kerja bonus. Bukan sahaja kepada suami tetapi yang paling penting ialah kepada diri isteri itu sendiri. Kenapa? Kerana dengan masakan, seorang wanita mampu menambat hati seorang suami. Pernah dengar kes majikan ada hubungan sulit dengan pembantu rumah? Banyak kes dah kan? Selalunya bila timbul kes-kes sebegini, yang akan disalahkan ialah pembantu rumah kerana tak sedar diri dan berani memikat majikan sendiri. Suami juga disalahkan kerana tidak tahu membezakan antara kaca dan permata. Ramai yang tidak tau, sebenarnya salah satu sebab ialah air tangan pembantu rumah tersebut yang telah melekat di hati si suami.

Ya!!! Air tangan… perkara yang kecil jer kan? Sesungguhnya air tangan wanita mempunyai rahsia yang tersendiri. Rahsia kasih sayang, lebih hebat daripada penangan air guna-guna. Kenapa tidak? Kita ni manusia yang dikuasai oleh akal dan minda. Akal dan minda hanya akan berfungsi sempurna apabila perut terisi sewajarnya. Bila bercakap tentang sewajarnya, bermaksud makanan yang masuk ke tekak itu sedap dimakan dan mengenyangkan. Ya, memang banyak makanan yang sedap dan enak serta mengenyangkan dijual di merata tempat. Apa nak susah? Beli jer, dah tercapai ler hasrat mengisi perut suami dengan sewajarnya. Betul tu… memang betul. Cepat dan segera. Namun, secepat dan sesegera itu juga kasih sayang suami akan pudar. Kenapa? Kerana tiada bezanya bagi si suami sama ada berkahwin atau bujang jika tetap merasa masakan gerai atau restoran. Sememangnya apabila telah bergelar suami, antara perkara yang suami fikirkan ialah: makan pakaiku terjaga.

Bukan memanjakan suami. Bukan juga menghambakan diri isteri. Memasak dan menyediakan makanan untuk suami adalah satu tanda kasih dan sayang seorang isteri kepada suami. Jika suami menghabiskan masakan isteri dengan penuh selera, hati isteri akan gembira dan ceria. Akan semarak lagi kasih dan cinta yang telah sedia ada. Pernah ada satu kes, seorang suami meninggalkan isteri mudanya yang cantik molek, pandai bersolek dan memikat, kembali kepada isteri pertama yang telah diceraikan kerana satu kehebatan bekas isterinya itu yang sukar ditandingi iaitu memasak. Cakaplah apa sahaja, si isteri akan pantas menyediakannya. Saya faham, sebagai wanita bekerjaya, memang susah untuk menyediakan hidangan istimewa setiap hari. Namun, saya menyeru kepada diri saya dan para isteri yang lainnya, demi suami yang kita korbankan harga diri kita kepadanya, marilah kita berusaha untuk mengenyangkan perut suami dengan air tangan kita sendiri.

Tak perlu masakan atau hidangan istimewa setiap hari, cukuplah yang mudah, sedap dan mengenyangkan. Suami pula, jangan pulak bersikap melampau. ‘Order’ itu ini seperti isteri anda itu tukang masak restoran. Kalau sesekali di hujung minggu tu, memang wajar. Kalau hari-hari, memang cari pasal ler. Fahamlah sikit, isteri anda bekerja. Kalau suri rumah pun, bukan memasak sahaja kerjanya. Anak-anak, persekitaran rumah, segalanya nak diuruskan juga. Biarlah bersederhana. Kesihatan terjaga, kewangan pun tak memeningkan kepala.

Paling baik, bukan sekadar isteri yang sibuk di dapur. Suami sepatutnya turut sama membantu isteri ketika menyediakan hidangan. Ya lah, dah isteri lakukan bonus untuk anda. Anda juga, berikan bonus kepadanya. Kalau ada anak-anak, suami boleh membantu menguruskan hal anak-anak ketika isteri sibuk di dapur. Itu juga salah satu cara memberikan bonus kepada isteri anda. Paling penting juga, suami harus bijak mengambil hati isteri. Ingat!! Isteri anda bukan chef terbaik di hotel bertaraf antarabangsa. Malah ada di kalangan wanita yang belajar memasak hanya setelah berkahwin.

Peranan suami amat penting untuk membanggakan isteri anda mengenai masakannya. Jika sedap, pujilah. Jika tidak, jangan diperli apatah lagi dimaki. Bukan berbohong namun tetapi gunakan kaedah yang lebih berhikmah. Jika terlebih garam, katakanlah, makanan ni sedap, tapi lebih sedap jika kurang sikit masinnya. Percayalah, hati isteri takkan terguris dengan komen anda malah isteria kan lebih berusaha menyediakan yang terbaik agar anda selalu memuji kerana pujian anda adalah salah satu tanda, anda menyenangi dan menyayanginya.

****Siaran Februari 2006

Untuk artikel yg lainnya , sila http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/2008/10/rahsia-air-tangan-wanita.html

Tuesday, November 11, 2008

- Rahsia Manjakani -

KENANGAN BERTUGAS di sebuah majalah wanita dengan rakan kerja semuanya wanita, memang menyeronokkan. Macam-macam cerita yang kami kongsi bersama. Kalau sudah semua warganya perempuan, percayalah, ada ketika kami berkongsi cerita yang di luar jangkaan orang lain. Malah kalau ada tips kecantikan, rahsia hubungan intim, kalau yang munasabah, kami jugalah yang cuba praktikkan dahulu sebelum dikongsi dengan pembaca.

Di kalangan kami, ada teman yang mempunyai emak yang cukup awet muda. Malah awet muda emak si Nozi ini memang luar biasa. Ibunya biarpun menjangkau 56 tahun ketika itu, tetap langsing, bergetah dan memiliki susuk yang masih mantap.

Itu luarannya! Malah yang lebih mengagumkan kami apabila mendengar cerita setiap kali ibu Nozi membuat rawatan pap smear, mak cik yang sudah putus haid ini dipuji melambung oleh doktor. Khabarnya doktor pakar sakit puan begitu kagum dan takjub melihat kehebatan mak cik ini menjaga bahagian dalamnya. Rahim dan peranakannya dikatakan kemas, tidak kembang dan cantik terletak.

Wah kami yang perempuan dan semuanya bergelar ibu, sukar juga membayangkan... kemas, tidak kembang (ini kami fahamlah... ), yang mahal bila doktor menyebut cantik terletak! Apa lagi setiap kali ada peluang bertandang ke rumahnya (kebetulan dia hebat memasak dan kami pun sentiasa banyak alasan teringin makan itu dan ini), akan mengendeng bertanya rahsia dia menjaga diri luar dan dalam.

Setiap kali ibu Nozi membuat rawatan pap smear, mak cik yang sudah putus haid ini dipuji melambung oleh doktor. Khabarnya doktor pakar sakit puan begitu kagum dan takjub melihat kehebatan mak cik ini menjaga bahagian dalamnya. Rahim dan peranakannya dikatakan kemas, tidak kembang dan cantik terletak.

Jawapan mak cik ini cukup mudah. Dia mengamalkan memakan manjakani. Katanya manjakani memang menjadi ulaman dirinya setiap minggu. Bagus untuk memastikan peranakan rapat, tidak kembang atau mengalami keputihan yang berlebihan. Sebenarnya panjang berjela cerita mak cik ni. Tapi yg lawaknya kisah manjakani yg mencetuskan sesuatu yg tak diduga.

Tidak lama selepas ziarah sambil belajar itu, ada pula rakan kami yang kebetulan baru bersalin mencubanya. Hasilnya? Pada satu ziarah kami dengan mak cik ini, kawan saya itu bercerita, betapa sejak dia mengamalkan memakan manjakani, peranakannya berasa ketat semacam!

Tercengang kami mendengarnya! Hebat, tak sangka begitu sekali. Namun kawan saya ini mengeluh kerana rasa tidak selesa apabila dia kekeringan!
“Kau makan macam mana?” Tanya si mak cik.
“Oh, saya makan sehari sepaket. Beli kedai mamak manjakani tu lima paket tahan tiga hari kadang-kadang. Saya tumbuk leper buah manjakani. Kemudian masuk dalam periuk nasi biar lembut. Lepas tu saya telan manjakani yang dikepal bersama nasi. Murah aje manjakani tu... dalam 30 sen. Tu yang saya beli banyak!” Kawan saya yang sedang menyudu laksa lancar bercerita

“Masya-Allah!!! Kau hilang akal apa? Aku makan sikit-sikit! Itupun aku asah manjakani tu pada pasu, aku ambil serbuknya. Bukan telan sehari sepaket! Memanglah kering dan rapat habis! Silap-silap bercantum terus nanti kat situ!” Suara mak Nozi melangsing, kami sendiri terlopong dan kemudian ketawa terbahak-bahak! Kawan saya tadi hampir tersembur laksa yang dimakannya.

Kami yang mendengar penangan herba-herba dan rempah-ratus yang selama ini dicampakkan saja dalam belanga, terlopong! Tak sangka byk sungguh khasiat rempah ratus ni dalam kesihatan seharian. Kalau mahu dihimpunkan memang cukup panjang senarai herba serta rempah-ratus kita yang berkhasiat tinggi. Malah banyak di antaranya sudah diperakui oleh pengkaji dan juga bukti dari makmal sains.

Manjakani misalnya telah digunakan secara meluas sebagai bahan dalam pengubatan tradisional sejak berabad-abad lalu oleh orang-orang Arab, Parsi, India, Cina dan Melayu. Malahan ia dipercayai telah mula digunakan sejak 2725 SM oleh orang-orang Mesir Purba. Malah kajian menunjukkan Manjakani Mekah atau Manjakani Allepo yang berasal dari daerah Allepo di Syria adalah antara spesis yang terbaik. Ia terbentuk apabila daun-daun pokok yang dikenali sebagai quercus infectoria (nama saintifik) dihinggapi oleh sejenis spesies penyengat yang dikenali sebagai cynips tinctorial atau cynips gallaetinctoria. Keberkesanan manjakani ini telah lama terbukti terutama dalam merawat keputihan, sakit tekak, ulser dan masalah kulit.

Rahsia Manjakani

* Awet Muda – Antioksida melambatkan proses penuaan sel.
* Pencegahan Kencing Manis – Asid galik mengatasi kencing manis dan lelah.
* Pencegahan barah payudara dan rahim – Antioksida manjakani mampu mencegah barah buah dada dan barah rahim.
* Pencegahan bau yang tidak diingini – Manjakani dikatakan bersifat astringen, berupaya membasmi bakteria dan kuman yang mencetuskan bau kurang enak pada faraj.
* Memulih otot dalaman faraj – Tannin pada manjakani khabarnya mampu menegangkan semula otot-otot dalam faraj dan sekali gus merapatkan bahagian yang longgar atau kendur.
* Mengawal lendir dan lelehan faraj – Astringen berupaya menyerap lendir dan lelehan faraj.
* Mengecutkan tisu-tisu – Astringen dikatakan berupaya mengecutkan semula tisu-tisu di dalam faraj terutamanya selepas bersalin.
* Menegangkan dan mencantikkan kulit – Astringen dalam manjakani boleh mencantikkan kulit dan mencegah jerawat.

Hem, jadi macam mana? Cuba-cuba ingat semula apa agaknya makanan kesukaan anda? Dan, cuba jengah-jengah resipi makanan itu, mana tahu kalau-kalau selama ini anda anda sukar mengawal adrenalin anda… atau mood swing turun naik macam rollercoster? Entah-entah dalam hidangan anda ada yang terlebih atau ada yang terkurang herba atau rempah ratusnya! Apa-apapun bertanyalah pada yang berpengalaman. Jangan jadi macam teman saya yang satu itu. Terlebih telan manjakani sehingga dia berasa yang satu itu bagai tertutup katup!

Penulis Asal Artikel ini: Lily Haslina Nasir (artikel yang asalnya bertajuk Rahsia Herba dan Rempah-Ratus)