Tuesday, August 5, 2008

- Sindrom Ketika Haid -

ADA orang berkata, haid atau datang bulan adalah waktu ‘rehat’ untuk wanita, tetapi ada juga yang terpaksa mengambil cuti sakit sekurang-kurangnya sehari setiap bulan, terutama mereka yang mengalami senggugut teruk.

Saintis menganggap haid adalah cara badan membersihkan rahim daripada sperma dan bakteria. Kitaran haid adalah satu proses yang kompleks dan membabitkan banyak hormon. Ia berlaku disebabkan perubahan fisiologi badan wanita yang dikawal oleh sistem hormon reproduktif dan penting untuk meneruskan keturunan. Kedatangan haid menandakan seseorang perempuan itu akil baligh yang biasanya berlaku ketika berumur 12 tahun.

Bagaimanapun, usah risau jika anak gadis lambat datang haid kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa antara umur lapan hingga 16 tahun. Ketika bayi perempuan dilahirkan dia sebenarnya mempunyai semua telur (dianggarkan antara 450,000 hingga 500,000) yang disimpan dalam ovari. Setiap satu mempunyai kantung khas dipanggil folikel.

Apabila baligh, badan akan menghasilkan pelbagai jenis hormon yang mematangkan telur dan inilah permulaan kitaran haidnya. Folikel yang matang akan menghasilkan hormon estrogen. Estrogen bertanggungjawab menjadikan dinding uterus menebal, menyebabkan perubahan mukus (lendir) serviks. Ketika haid, satu telur akan dikeluarkan.

Ada juga kes telur dikeluarkan yang membolehkan seseorang wanita mendapat bayi kembar tidak seiras jika berlaku persenyawaan. Satu lapisan dinding dalam rahim (endometrium) akan terbentuk sebagai tempat telur yang tersenyawa melekat bagi membolehkan kehamilan. Jika persenyawaan dan kehamilan tidak berlaku, dinding ini akan runtuh dan dikeluarkan sebagai haid. Inilah permulaan kitaran haid yang biasanya mengambil masa seminggu.

Bagi wanita Islam, pendarahan yang berlaku selepas 15 hari tidak lagi dianggap haid, sebaliknya istihadah (darah penyakit). Kitaran ini akan berulang setiap bulan (dalam tempoh 28 hari) sehingga semua telur habis dikeluarkan (menopaus). Sebaiknya tandakan tarikh permulaan dan tamat haid. Lakukan beberapa bulan supaya anda boleh membuat satu carta bagi memastikan tempoh kitaran haid. Ini membolehkan anda mengesan jika berlaku kelewatan haid yang mungkin disebabkan penyakit atau kehamilan. Malah, pakar perubatan juga akan merujuk kepada carta ini untuk menentukan tarikh kelahiran anak.

Berapa banyak darah yang keluar? Kajian mendapati wanita hilang antara satu hingga dua auns (suku hingga tiga suku cawan) yang mengandungi darah (termasuk zat besi), sel mati dan lendir. Kehilangan zat besi menyebabkan ramai wanita mudah berasa penat ketika haid.

Ada yang menyarankan supaya wanita mengambil pil makanan tambahan zat besi untuk mengatasi masalah ini. Ramai wanita bimbang dengan bau darah haid. Ia disebabkan aktiviti bakteria faraj terhadap elemen darah dan ia adalah perkara normal. Justeru, tidak kira berapa teliti pun seseorang itu menjaga kebersihan dirinya, bau darah tetap ada.

Lain wanita, lain pengalaman haidnya. Ia boleh berlaku sebelum (dipanggil sindrom pra haid atau PMS), ketika dan selepas haid. Antara masalah yang kerap berlaku termasuk sakit perut (senggugut), sakit kepala dan belakang badan, kembung, mual, cirit-birit, sakit pada payu dara, berasa tidak selesa dan perubahan emosi. Sindrom pra haid termasuk perubahan emosi, sakit kepala dan keletihan.

Ada sesetengah wanita menginginkan makanan seperti coklat, roti, pastri atau mi. Ia disebabkan tindak balas insulin terhadap perubahan hormon yang mengesan kekurangan paras gula dalam darah. Ia boleh diatasi dengan mengamalkan diet seimbang.

Ada juga wanita mengalami masalah nyeri berkala, iaitu lebam pada mana-mana bahagian badan tanpa sebarang sebab. Saintis percaya ia ada kaitan dengan paras estrogen yang rendah sebelum haid. Estrogen juga berfungsi untuk menguatkan dinding kapilari (saluran halus darah) dan kekurangan hormon ini menyebabkan kapilari menjadi lemah. Akibatnya warna kulit mudah berubah ketika haid. Selain itu, sakit perut atau senggugut adalah masalah paling lazim.
Ada dua bentuk senggugut, sama ada sakit memulas (spasmodik yang disebabkan tindakan prostaglandin pada otot) atau konjestif (akibat pengumpulan air dan garam dalam badan). Untuk mengatasinya, ada penyelidik mencadangkan supaya makan makanan yang kaya asid linoleik seperti sayur-sayuran dan ikan untuk merehatkan otot.


Bagi sakit perut konjestif pula, wanita disaran mengelak mengambil produk susu, kafein dan alkohol.

Selain itu ada beberapa cara boleh dilakukan untuk mengatasi senggugut, seperti:

- Bersenam. Ia melancarkan aliran darah dan oksigen terutama pada pelviks.

- Jangan gunakan tampon, sebaliknya gunakan tuala wanita biasa. pElakkan makan daging merah, makanan berlemak dan susu.

- Makan banyak sayur-sayuran, terutama bagi wanita yang mengalami masalah sembelit ketika haid.

- Elakkan minuman mengandungi kafein kerana ia mengetatkan salur darah dan meningkatkan tekanan.

- Urut.

- Minum teh bercampur halia.

- Baring, berehat dan tenangkan fikiran, terutama jika anda turut mengalami sakit belakang.

- Tuam bahagian perut dengan meletakkan pek panas atau tuala panas. Ia dapat melegakan kesakitan.

No comments: